Thursday 20 June 2013

Topik 1 : PERBEZAAN PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

Topik 1 : KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN PENILAIAN

PENTAKSIRAN

Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat keputusan tentang produk sesuatu proses pendidikan. 

Pentaksiran ialah proses untuk mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan, dan pencapaian pelajar secara menyeluruh berasaskan matlamat kurikulum. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1998).

Pentaksiran sebagai pembelajaran menggalakkan seseorang guru menggunakan kebijaksanaan untuk menilai kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran, dan seterusnya membuat perancangan untuk memperbaiki pelajar. 

Tujuan pentaksiran ini adalah untuk melihat sejauh mana objektif kursus telah tercapai, dan sejauh mana pengetahuan dan kemahiran telah diperoleh oleh pelajar pada akhir sesuatu program.


PENGUJIAN

Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. (Kamus Dewan Bahasa, Edisi 4)

Pengujian merupakan satu prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran. 

Pengujian ini boleh dalam bentuk pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis. (Zamrina, 1996)


PENGUKURAN

Pengukuran merupakan suatu proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik (melalui angka) tentang sebanyak mana individu/pelajar mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat tertentu dan merujuk proses memberi penjelasan berangka bagi suatu benda, perkara, keadaan, orang, atau peristiwa mengikut peraturan tertentu.

Dalam penyelidikan, hasil pengukuran adalah satu himpunan pemerhatian yang akan digunakan sebagai data kajian. (Ismail Daud,1998)


PENILAIAN

Penilaian merujuk proses mentafsir atau memberi nilai yang bercorak kualitatif tentang sesuatu kemahiran bahasa berdasarkan jumlah markah pencapaian hasil daripada pengukuran yang telah dilakukan secara kuantitatif. Misalnya pencapaian murid tentang seuatu kemahiran bahasa itu boleh dinilai sebagai mencapai tahap cemerlang, baik, sederhana, lemah, ataupun sangat lemah berdasarkan sesuatu kriteria pemarkahan atau ciri tertentu yang telah disediakan terlebih dahulu oleh guru. 

Misalnya seorang murid yang mendapat jumlah markah sebanyak 95 % dalam sesuatu kemahiran bahasa mungkin dinilai sebagai mencapai tahap yang cemerlang dan seorang murid lain pula yang mendapat markah sebanyak 10% akan dinilai sebagai berada pada tahap yang lemah. Jadi, perkataan seperti cemerlang, baik, sederhana, lemah, dan sangat lemah yang digunakan dalam konteks ini adalah sebenarnya istilah penilaian yang diberikan secara kualitatif berasaskan pengukuran dan markah yang telah diperoleh dalam bentuk kuantitatif.